Foto FB Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi komited untuk meneruskan agenda Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dilihat terhenti selepas Pakatan Harapan (PH) mengambilalih pentabiran negara.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, komitmen tersebut dizahirkan Ahmad Zahid selepas dikunjungi pendakwah Ebit Lew di Kota Kinabalu hari ini yang membincangkan kerja dakwah.

“Selepas selesai Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi merasmikan Kongres Tahunan PBRS, beliau dikunjungi pula Pendakwah tersohor Ustaz Ebit Lew di hotel penginapan kami di Kota Kinabalu.

“Banyak perkongsian gerak kerja dakwah yang dibincangkan termasuklah mengenai dasar tahfiz negara yang direncanakan Kerajaan BN terdahulu untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional dalam pelbagai disiplin ilmu yang terhenti apabila PH mengambil alih.

“Insya-Allah Pengerusi BN menyatakan komitmen untuk meneruskan kembali agenda besar negara sebelum ini di samping memastikan kestabilan negara kembali dikecap demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dimulakan pada tahun 2016 pada era pemerintahan Barisan Nasional.

Pada Oktober tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) diteruskan menerusi penyediaan Pelan Tindakan DPTN 2.0.

Dasar tersebut diteruskan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), agensi kerajaan berkenaan dan persatuan tahfiz.

Pelaksanaan pelan itu akan dipantau oleh Jawatankuasa Pelaksana DPTN.

DPTN memfokuskan lima teras utama iaitu pemantapan dan penguatkuasaan undang-undang melalui pemantauan PBAN terhadap enakmen dan peraturan yang berkuat kuasa di negeri.

Selain itu pelan tersebut mewujudkan model institusi tahfiz yang dapat dilihat pada Darul Quran, Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri dan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).-MalaysiaGazette