Beberapa penduduk membantah jajaran projek Lebuhraya Putrajaya Bangi.

BANGI – Bayangkan pembinaan jajaran Lebuhraya Putrajaya-Bangi (PBE) hanya 22 meter daripada rumah.

Itu yang bakal dialami penduduk empat buah taman perumahan di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi apabila pembinaan projek tersebut didakwa dimulakan pada penghujung tahun ini.

Justeru itu, sebilangan penduduk daripada empat buah taman perumahan di kawasan berkenaan membuat bantahan mengenai jajaran itu.

Penduduk bantah jajaran Lebuhraya Putrajaya Bangi.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Pengalihan Jajaran PBE, Ahmad Suhaidi Zakaria, pihak penduduk di Taman Tasik Bangi 3, Damai 3, Bangi 3 dan Damai Residensi rata-ratanya penduduk tidak membantah projek lebuhraya berkenaan.

Namun bagi mereka, pembinaan yang begitu hampir dengan penduduk akan menimbulkan kesan jangka panjang dan mendesak agar jajaran itu dipindahkan ke rizab sungai di seberang keempat-empat taman berkenaan.

“Projek ini dibuat secara tiba-tiba, kami penduduk tidak tahu dan tahu selepas penduduk Seksyen 15 beritahu kami bahawa ada PBE akan dibina.

“Malah kajian penilaian impak sosial (SIA) yang dibuat keatas pembinaan projek ini juga meragukan.

“Kami sudah tanya semua penduduk sini, mereka tidak tahu menahu dengan projek pembinaan ini, kami tidak bantah cuma kami minta pemaju alihkan ke seberang sungai (hadapan UKM), kami bukan nak menghalang pembangunan tapi bila projek ini dibina di kawasan penduduk, kesan buruk itu lebih banyak daripada kesan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Bagi Shahrin Md Noor, 62 yang merupakan penduduk Taman Bangi 3, beliau gusar kerana projek itu terlalu hampir dengan rumahnya.

“Projek ini memang akan mengganggu ketenteraman kami sedangkan jalan di hadapan UKM pun sudah bising.

“Bayangkan kalau berdekatan dengan rumah saya, lebih kurang 22 meter sahaja, bila sudah siap nanti tidak dapat bayangkan suasana bising dia macam mana?, soal Shahrin.

Lakaran projek PBE yang begitu hampir dengan rumah penduduk.

Menurut penduduk Taman Tasik Bangi 3, Maizul Mohamad, 48, pihaknya merayu agar pihak berkuasa malah pejabat Menteri Besar agar mempertimbangkan bantahan lebih 1,500 penduduk.

Jelasnya, pembinaan projek ini tidak sesuai dan perlu mencari pilihan-pilihan lain demi kemaslahan penduduk.

“Saya harapkan perkara ini dipertimbangkan semula termasuk pejabat Menteri Besar, kalau ikut rizab sungai ada beberapa kaki yang tidak boleh dibangunkan. Saya rasa pihak pemaju perlu teliti tiga pilihan lain.

“Saya rasa pemaju perlu gunakan jalan sedia ada, kalau perlu besarkan buatlah. Kenapa nak diganggu persekitaran sungai tapi saya tengok jalan biasa boleh diperbesarkan. Malah struktur tanah akan diganggu dan turut beri kesan kepada ekosistem di sini,” keluh beliau.

Seorang lagi penduduk, Shahfudin Muhamad Supian, 55, berkata, kawasan di seberang jalan utama Jalan Reko adalah lebih sesuai untuk pembinaan projek lebuh raya itu berbanding kawasan yang terlalu hampir dengan kawasan penduduk.

Lagipun, taman perumahan ini wujud lebih lama dan sudah mempunyai ramai penduduk, ujarnya.

“Masa kami pindah ke taman perumahan ini pada 2003, memang tidak ada cerita mengenai jajaran lebuhraya di sini, jadi perkara ini berbangkit sekarang.

“Projek ini dekat dengan rumah dan projek ini akan beri bunyi bising dan jadi satu masalah. Kami bantah jajaran itu, dan minta dialihkan ke seberang balik. Ia mengganggu penduduk yang sudah ramai di sini,” desak Shahfudin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Taman Tasik Bangi 3, Rosli Hussain, 49,, berkata: “Projek ini perlu dialihkan, kalau di Seksyen 15 boleh dialihkan kenapa tidak di kawasan kami yang melibatkan ramai penduduk ini dialihkan.

“Ini melibatkan lebih 1,500 buah rumah berbanding dengan kawasan lain. Kami sokong pembinaan lebuhraya tapi bila melibatkan projek itu sangat hampir dengan rumah, itu kami bantah,” katanya.

Projek Lebuhraya Putrajaya Bangi (PBE)

Dalam pada itu, Ahmad Suhaidi turut berkata, pihaknya turut bimbang berlakunya banjir dek kerana projek pembinaan berkenaan yang hampir dengan Sungai Langat.

“Apa yang membimbangkan kami apabila projek ini dilaksanakan, seluruh kawasan bersebelahan dengan sungai ini akan diratakan dan sudah pasti air Sungai Langat akan melimpah ke kawasan perumahan.

“Kami ada bukti bahawa hujan lebat dua hari sahaja sungai sudah melimpah, dan pada 2006 air sungai melimpah sehingga rumah kami.

“Dengan ada PBE ini, keadaan akan lagi teruk,” katanya lagi.

Berdasarkan surat penduduk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 Januari lalu, projek PBE ini merangkumi pembinaan sepanjang 13 kilometer yang akan menghubungkan Putrajaya dan Lebuhraya Kajang-Seremban.

Malah sebahagian jajarannya akan memasuki rizab Sungai Langat bersebelahan dengan empat taman di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

Untuk rekod, projek pembinaan PBE ini juga berhampiran dengan Denai Sungai Langat yang dibangunkan Kementerian Alam Sekitar dan Air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast