Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. Foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia  (KKMM) mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mendahului keputusan Kabinet dalam pelaksanaan rangkaian 5G nasional di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan rangkaian telekomunikasi baharu itu hanya boleh diputuskan oleh Kabinet, bukan syarikat yang dimiliki kementerian mahupun agensi kerajaan.

“Dasar muktamad mengenai pelaksanaan 5G akan diputuskan Kabinet, setelah mendapat ulasan dari semua Kementerian dan Agensi.

“Saya harap tiada sesiapa pun harus mendahului Kabinet. Kabinet akan memutuskannya berdasarkan apa yg terbaik bagi industri dan negara,” katanya dalam hantaran terbaru di Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Bhd, Ralph Marshall berkata, pelaksanaan rangkaian 5G nasional tidak boleh diserahkan kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) sedia ada.

Marshall mendakwa ia mungkin ditangguhkan sehingga MNO mengaut lebih banyak keuntungan daripada pelaburan rangkaian 4G sedia ada.

Beliau juga memberi bayangan, pelancaran rangkaian 5G sebuah MNO akan ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun 2024, berbanding jangkaan asal pada 15 Disember 2021, apabila perkhidmatan 5G disediakan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

Sasaran liputan di negara ini pula dijangka mencecah 80 peratus menjelang 2024. – MalaysiaGazette