Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa harga bahan api RON95 kekal pada harga RM2.05 seliter ketika ini disebabkan ‘formula’ yang diperjuangkan beliau satu ketika dahulu.

Rafizi yang telah bersara daripada politik berkata, ketika ini harga minyak mentah telah mencecah AS$93 setong yang merupakan harga paling tinggi sejak 2017.

Menurutnya, ketika zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, harga petrol RON95 menjangkau hingga RM2.30 seliter apabila harga minyak mentah naik lebih AS$50 setong

“Pentaksub Najib, Hadi dan lain-lain selalu mencemuh mengenai formula saya.

“Sebab formula saya itulah mereka kekal bayar RM2.05 isi petrol pergi kempen PRN Johor. Kalau tidak mereka kena edar tin Milo untuk bayar RON95 yang harganya mungkin RM4 seliter dengan harga minyak mentah dunia yang sudah naik dua kali ganda.

“Sebab itu saya biar saja mereka mengungkit pasal formula sebab saya tahu formula itu bawa banyak kebaikan kepada rakyat biasa,” kata Rafizi di media sosial.

Serentak itu beliau menasihatkan ahli-ahli politik muda untuk menumpukan terhadap idea yang boleh dilaksanakan untuk rakyat yang kesannya boleh membawa kebaikan jangka panjang.

Rafizi turut menasihatkan ahli politik muda supaya mengurangkan polemik dan kempen yang bersifat retorik terutamanya pada era zaman media sosial.

“Yang bahayanya bila ahli politik sibuk berkempen tetapi tiada idea untuk bantu rakyat biasa. Tanpa idea, tiadalah formula.
Tanpa formula maka kempen kosong sahaja,” katanya.

Rafizi bersara daripada politik sejurus Mahkamah Tinggi membebaskannya terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) pada 15 November 2019.

Pembebasan tersebut dilakukan selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen apabila didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya.

Selepas dibebaskan, beliau mengumumkan tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik atau menyandang sebarang jawatan penting dalam kerajaan.

Rafizi mahu berehat dalam tempoh dua hingga empat tahun dan menjadi orang biasa serta menumpukan perhatian kepada keluarga. – MalaysiaGazette