Radzi Md Jidin RMT Supplementary Food Programme white rice with gravy
Radzi Jidin

JOHOR BAHRU – Sesi persekolahan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 diteruskan pada Mac ini walaupun kes Covid-19 terus meningkat.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana peratusan pesakit baharu Covid-19 yang melibatkan kategori empat atau lima begitu kecil.

“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) komited untuk memastikan pengoperasian di semua sekolah berjalan dengan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dipatuhi.

“Ia dilakukan dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lalu berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Radzi berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk meneruskan peperiksaan SPM pada tahun ini kerana lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 sudah lengkap divaksin berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, tambah beliau, kementerian itu tidak menafikan terdapat jangkitan Covid-19 yang melibatkan guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusan itu terlalu kecil.

Katanya, jumlah kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah 10,000 sekolah tidak berasrama di seluruh negara.

Beliau berkata, KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP ditetapkan.-MalaysiaGazette