17 individu termasuk 15 pekerja kilang cedera terlibat dalam kemalangan di Jalan Perusahaan Perai, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah selepas kedua-dua kenderaan yang dipandu mereka bertembung dalam satu kejadian di Jalan Perusahaan Perai di sini, malam tadi.

Akibat pertembungan itu, bas kilang dinaiki 21 penumpang yang terdiri daripada warga asing itu terbalik dalam keadaan melintang jalan sekali gus menyebakan 15 orang daripada mereka mengalami kecederaan ringan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bomba Perai, Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 7.21 malam tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Mohd Fakharurazi.

Kata beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati kebanyakan mangsa berada di atas jalan manakala pemandu bas telah berjaya keluar dari bas berkenaan oleh orang awam.

“Bagaimanapun, pemeriksaan kita mendapati pemandu treler gagal dikeluarkan susulan tersepit pada kaki di bahagian tempat duduk pemandu.

Difahamkan treler tersebut hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu treler itu berjaya dikeluarkan dalam tempoh tujuh minit oleh pihak bomba menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans.

“Manakala 16 individu termasuk pemandu bas kilang tersebut turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Pihak bomba masih menjalankan operasi membersihkan lokasi kemalangan.

“Operasi menyelamat mangsa selesai dilakukan dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak polis namun operasi membersihkan lokasi kejadian masih giat dilakukan ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui lokasi kejadian.

MalaysiaGazette difahamkan, treler tersebut cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan masuk laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas kilang terbabit.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Kesemua penumpang dalam bas kilang itu merupakan pekerja kilang Mattel dan mereka dalam perjalanan pulang sebaik selesai shif kerja pagi. – MalaysiaGazette