Seramai 55 individu lelaki dan 26 wanita warga tempatan dikompaun RM81,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Plaza Damansara di sini malam semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 55 individu lelaki dan 26 wanita warga tempatan dikompaun RM81,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Plaza Damansara di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizan Abdul Shukor berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sekitar pukul 11.24 malam.

“Dalam serbuan itu, polis menahan penjaga premis iaitu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan enam pekerja lelaki warganegara asing berumur antara 25 hingga 34 tahun kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

“Selain itu, seramai empat pelanggan premis terdiri daripada seorang wanita warganegara asing berumur 21 tahun dan tiga lelaki warganegara asing berumur antara 18 hingga 27 tahun telah ditangkap kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizan berkata, pihaknya turut merampas resit perniagaan, risalah senarai harga, minuman keras, papan kekunci serta aksesosi dan peralatan muzik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 17 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) (PPN) Fasa 4 2021 dan Seksyen 22(b) Akta 342 Kawalan Penyakit Berjangkit,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pusat hiburan dan hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam memastikan penyakit berjangkit di negara ini dapat dikawal. – MalaysiaGazette