Kalsom Nordin menziarah adik-beradik yang ibu dan adik bongsu mereka disimbah minyak panas. Mereka kini dijaga sementara oleh ibu saudara di Paya Rumput, Melaka.

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa trauma simbahan minyak panas oleh suaminya yang turut menyebabkan bayinya berusia empat bulan melecur.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, khidmat berkenaan akan segera diberikan kepada ibu muda berusia 22 tahun itu pada bila-bila masa diperlukan sebaik sahaja keluar wad dari Hospital Melaka.

“Sudah tentu, di dalam masa terdekat ini JKM akan sediakan khidmat kaunselor untuk memulihkan semangat mangsa yang mungkin trauma selepas kejadian berkenaan.

“Selaku Exco berkaitan, saya juga kesal dengan kejadian ini sedangkan ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung utama kepada kanak-kanak yang masih kecil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat ketiga-tiga anak mangsa di rumah keluarga adiknya di Padang Temu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang kelmarin, seorang lelaki berusia 24 tahun sanggup bertindak ‘gila’ menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayi perempuannya berusia empat bulan selepas berlaku pertengkaran antara mereka di rumahnya di Semabok Dalam, di sini.

Akibatnya mangsa berusia 22 tahun yang juga ibu kepada empat anak berusia antara empat bulan dan enam tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan setelah kedua-duanya melecur di beberapa bahagian badan.

Kejadian dikatakan berpunca apabila suami berusia 24 tahun mengesyaki isterinya berkawan dengan lelaki lain selepas kerap berbual menggunakan telefon bimbit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah turut mengesahkan suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, Pegawai Pelindung JKM turut melakukan siasatan punca kejadian termasuk kemungkinan mengesyorkan kepada mahkmah nanti meletakkan kanak-kanak terbabit di bawah penjagaan JKM sekiranya tiada waris atau keluarga yang layak menjaganya.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan kedua-dua beranak itu yang kini berada dalam wad biasa Hospital Melaka dalam keadaan stabil selepas ini akan menetap bersama ibu saudaranya Paya Rumput.

“Saya harap, kejadian ini dapat menjadi iktibar terutamanya kepada pasangan suami isteri muda supaya sentiasa mengawal emosi dan janganlah sesekali membiarkan emosi mengawal kewarasan akal,” katanya. – MalaysiaGazette