Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Rantaian Peruncitan dan Francais ASEAN (ARFF) di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan tidak timbul isu bahawa kerajaan akan lebih stabil jika UMNO tidak menjadi kerajaan.

Ini kerana, pada masa ini UMNO berada dalam kerajaan dan beliau sendiri adalah perdana menteri dari UMNO.

Malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau mendapat sokongan daripada rakan-rakan parti lain.

“Kita dah tunjuk (buktikan) kerajaan ini stabil, saya sendiri Perdana Menteri UMNO dan disokong oleh rakan-rakan parti yang lain,” katanya selepas majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, kestabilan politik dalam negara hanya boleh dicapai sekiranya UMNO tidak lagi memerintah.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, ketidakstabilan politik menyebabkan beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan akibat tindakan BN selepas diberi peluang kembali memerintah.

“Formulanya, UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang UMNO mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

“Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah, kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya ketika menghadiri sebuah program di Johor Bahru hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kestabilan politik negara juga dibuktikan dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, ia semua bagi memastikan politik negara dalam keadaan stabil, jadi tiada isu seperti yang dikatakan oleh MB (Muhammad Sanusi) itu,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bodoh punya MB…tak stabil bukan sebab UMNO lah baghal..sebab kerajaan tak cukup majoriti…tak kira parti mana pun…kerajaan PH pun tergolek sebab tak dpt majoriti…masa tu PAS pun terlibat jatuhkan kerajaan persekutuan…kalau kerajaan PAS kat Kedah ada kelebihan satu kerusi jaa..lepas tu dgn katak2 lompat dari Bersatu melompat pun, kerajaan akan jd tak stabil…level IQ mcm ni pun boleh jadi MB…

Comments are closed.