Asyraf Wajdi Dusuki

JOHOR BAHRU – Lebih 15 calon pemuda Barisan Nasional (BN) ditawarkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata calon-calon yang ditawarkan itu mempunyai ciri-ciri seperti calon-calon di PRN Melaka.

“Calon-calon adalah orang muda yang berkelayakan, berketerampilan, mempunyai pencapaian akademik yang baik, dari segi gerak kerja dengan masyarakat (yang) bukan hanya bermula sekarang tetapi mereka (ini) sudah dikenali dalam masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program Pengangkutan Percuma untuk Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda BN Pasir Gudang Noor Azleen Ambros.

Selain itu, Asyraf Wajdi juga berkata senarai calon yang dikemukakan itu juga menepati kriteria yang ditetapkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu yang boleh menang (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai (likeable).

Beliau berkata Pemuda BN tidak hanya memberi tumpuan di kawasan yang akan mereka tandingi sebaliknya semua kerusi yang ditandingi gabungan itu bagi memastikan kemenangan besar dalam PRN tersebut.

“Ini kerana Johor adalah cerminan kepada Malaysia untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dan kuat. Kita juga tidak tumpu pada satu kaum sahaja dan kita akan memenangkan semua parti sama ada UMNO, MCA dan MIC,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.- BERNAMA

1 Komen

  1. asraf wajdi masuklah bertanding dijohor lawan mazlee malik
    fuad jakarshi berani lawan DAP diPaloh SHEIKH UMAR
    KHALED NORDIN Sentap DR Sharudin

Comments are closed.