A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Datuk A. Kadir Jasin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang besar di Johor sebagaimana keputusan diperolehinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu.

Menurut wartawan veteran itu, kemenangan BN itu dikatakan berpunca daripada faktor perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kalau jalan cerita PRN Melaka November lalu boleh digunakan ke atas PRN Johor pada 12 Mac ini, UMNO akan menang besar. Bukan sangat kerana UMNO kuat, tetapi kerana parti-parti lawan sudah hilang arah tujuan.

“Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan PKR mungkin mengulangi kekalahan teruk di Melaka. PH dan PKR juga kalah teruk dalam PRN Sarawak 18 Disember lalu.

“Parti-parti yang menentang UMNO banyak, dan rakyat jelata yang mahukan perubahan pun ramai, tetapi mereka lebih berpecah belah sekarang daripada ketika PRN Melaka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Menurut A. Kadir, PH terbahagi dua kerana PKR hendak menggunakan lambang sendiri, manakala DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memakai lambang PH.

Katanya, tindakan itu sudah tentu membuatkan pengundi keliru dan kurang yakin dengan sikap mementingkan diri yang ditunjukkan pembangkang.

“Maka atas sebab-sebab inilah, UMNO nampak mempunyai kelebihan.

“Parti Muda pula akan membuat kemunculan sulung sejak didaftarkan 23 Disember lalu melalui kerjasama dengan PH dan PKR.

“Parti ini boleh membantu menarik undi pemilih anak muda kepada khemah pembangkang, manakala Pejuang juga dilaporkan akan mengadu nasib buat kali pertama secara bersendirian,” katanya.

Beliau juga mengumpamakan PN bagai rumput di tengah jalan – sini tidak di sana pun tidak.

Mengulas lanjut dalam tulisan terbaharunya itu, A. Kadir memberitahu, Bersatu tidak kuat dan Pas pula lemah.

“Bersatu menang kerusi di Johor dalam pilihan raya umum (PRU) lalu atas kekuatan bersama PH.

“Nampaknya, Bersatu bolehlah bersiap sedia untuk menendang dirinya sendiri kerana telah ditipu bulat-bulat oleh UMNO dan feksyen (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali untuk melakukan tindakan politik paling bodoh dengan menjadi alat “Sheraton Move” dua tahun lalu.

“Presidennya sendiri, (Tan Sri) Mahiaddin Md. Yasin telah memberi isyarat ‘surrender’ apabila pada 25 Januari lalu dia berkata, tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir,” ujar beliau.

Katanya, sudah tentu UMNO mengharapkan kelebihan daripada pertandingan tiga penjuru, di mana PN dan PH/PKR bertembung. Ia akan menang jika undi tradisionalnya kekal, manakala undi pembangkang pecah.

Di Melaka, kata beliau, BN hanya mendapat 38.4 peratus undi untuk menang kerana pecah undi.

Secara umum, beliau menjelaskan, UMNO Johor tidaklah kuat atau berjaya seperti diuar-uarkan.

“Boleh jadi bilangan ahli dan penyokong ramai, tetapi kualiti kepemimpinan tidak menyerlah sehingga gagal mengemukakan calon Perdana Menteri sejak persaraan Almarhum Tun Hussein Onn pada tahun 1981.

“Mahiaddin pula tidak boleh diambil kira sebab dia mendapat jawatan itu melalui rampasan kuasa.

“Atas alasan itu, rasanya tidak ramai orang percaya kepada bekas Menteri Besar, (Datuk Seri) Mohamed Khaled Nordin apabila dia berkata, seluruh negara telah meninggalkan kluster mahkamah jauh di belakang dan bergerak jauh ke hadapan mencari kestabilan, memulihkan ekonomi dan mencipta masa depan.

Menurut A. Kadir lagi, susah hendak percaya kepada orang yang kerusi Parlimen dan negeri sendiri pun tidak berjaya pertahan dalam PRU14.

Beliau juga membuat andaian, kluster mahkamah dan konco mereka akan menggunakan PRN Johor dan apa juga peluang untuk kekal berguna sehinggalah rayuan terakhir mereka kepada Mahkamah Persekutuan selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.