Kesemua 20 Pati warga Myanmar itu ditahan ketika menyeludup masuk ke negara menerusi laluan sempadan Malaysia-Thailand.

BUKIT KAYU HITAM – Cubaan 20 Pendatang Tanpa Izin (PATI) menyeludup ke Malaysia melalui sempadan negara dengan Thailand menerusi laluan tikus gagal selepas kesemua mereka diberkas semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan media berkata, kesemua mereka termasuk tiga wanita ditahan menerusi Ops Benteng pada pukul 3.45 pagi di Felda Bukit Tangga di sini.

“Ketika pihak kami melakukan rondaan telah ternampak sekumpulan orang awam dalam kedudukan meniarap cuba melintasi pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas sebahagian PATI yang diberkas.

“Susulan itu, anggota rondaan melakukan pemeriksaan di lokasi sebelum menemui 20 individu terdiri daripada 17 lelaki dan tiga wanita tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki sebagai PATI,” katanya hari ini

Tambah kenyataan itu, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI tersebut terdiri daripada warga Myanmar yang berusia lingkungan 15 hingga 55 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita juga merampas pelbagai barangan peribadi termasuk telefon bimbit serta matawang Myanmar, Thailand serta Malaysia berjumlah RM6,801 secara keseluruhan.

Kesemua PATI diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam manakala kesemua Patu diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia Daerah Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, suka pihak kami ingatkan agar mana-mana pihak mematuhi undang-undang ditetapkan dan kami tidak akan berkompromi sesiapa yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara,” katanya. – MalaysiaGazette