Shamsol menunjukkan lampiran gambar tangkapan tekong dan PATI pada sidang media di Batu Uban, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin Wilayah 1  (PPMW 1) mengenal pasti 50 laluan tikus yang digunakan sindiket bagi menyeludup masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bermula dari perairan Klang, Selangor hingga ke Hutan Melintang, Perak.

Komandernya, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, kesemua laluan itu dikenal pasti ketika pihaknya melakukan tangkapan membabitkan PATI ketika melakukan rondaan menerusi beberapa operasi termasuk Ops Khas sempena Perayaan Tahun Baharu Cina.

Jelas beliau, sejak dari 1 Januari lalu hingga semalam seramai 201 warga Indonesia termasuk seorang warga tempatan diberkas di bawah Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Manusia (ATIPSOM).

Shamsol.

“Kesemua mereka yang ditahan di perairan Sungai Buloh, Tanjong Karang dan Sungai Serdang, Selangor. Kesemua mereka terdiri daripada 158 lelaki dan 42 perempuan yang berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun.

“Selain itu, 13 individu daripada 201 orang yang ditahan itu berperanan sebagai tekong laut dan tekong darat.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas empat bot yang digunakan untuk menyeludup masuk PATI serta rampasan lain yang berjumlah RM900,000 secara keseluruhan,” katanya pada sidang media di Batu Uban di sini, hari ini.

Menurut Shamsol, kebanyakan laluan tikus yang dikenal pasti itu terletak di kawasan gelap serta bukan lokasi pangkalan utama sekali gus  menyukarkan pihak berkuasa mengesan pergerakan mereka.

Jelas beliau, sindiket aktif menyeludup masuk PATI bermula jam 9 malam hingga 2 pagi dan berdasarkan siasatan mereka hanya memerlukan masa empat hingga lima jam untuk membolos sempadan negara menerusi Selat Melaka.

“Hasil siasatan pihak kami mendapati setiap seorang PATI dikenakan bayaran RM1,500 hingga RM2,000 untuk masuk ke negara ini selain mereka sudah dijanjikan pekerjaan di sektor perladangan serta pembantu rumah.

“Kita juga dapati sindiket akan menggunakan bot nelayan untuk menyeludup masuk PATI dan setiap bot akan dimuatkan antara 100 hingga 200 PATI ini sekali gus punca berlakunya insiden bot karam hingga meragut nyawa mereka,” tegas Shamsol.

Tambah Shamsol, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan agresif bagi mengelakkan sempadan negara dibolosi dengan mudah, sekali gus kedaulatan negara dapat dijaga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast