Rampasan air ketum oleh polis daripada lima rakan kenalan termasuk kelasi kapal dan penghantar makanan di sebuah rumah teres yang disewa sejak setahun lalu di Shah Alam. - Gambar Ihsan IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang menjalankan aktiviti menyimpan dan mengedar ketum dengan menyewa sebuah rumah teres di Shah Alam akhirnya tersungkur di tangan polis.

Kegiatan mereka yang dijalankan secara tersembunyi secara aktif sejak lebih setahun lalu  dengan mendapatkan bekalan dari salah sebuah negeri di utara akhirnya terbongkar dengan tertangkapnya lima lelaki disyaki anggota sindiket tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, turut dicekup dalang utama kegiatan itu yang merupakan seorang penganggur.

Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama seminggu, pada 14 Februari lalu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (IPD) Shah Alam telah buat serbuan sebuah rumah teres di Seksyen 24.

“Hasil serbuan pasukannnya berjaya menahan lima lelaki tempatan yang kesemuanya berusia antara 26 hingga 48 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan pihak polis telah menjumpai dan merampas sebuah tong plastik warna hijau, dua tong plastik warna oren dan dua kotak gabus warna putih diruang dapur rumah tersebut.

“Di dalam kesemua tong dan kotak gabus mengandungi 276 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum anggaran isipadu berjumlah 414 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Baharudin, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau hukuman penjara tidak melebihi empat tahun atau keduanya sekali.

Siasatan awal keatas kesemua suspek lelaki berkenaan mendapati suspek pertama bekerja sebagai penghantar makanan, suspek kedua merupakan seorang pengasuh kanak-kanak lelaki.

“Suspek ketiga adalah seorang pengawal tempat letak kereta, suspek keempat adalah seorang kelasi kapal dan suspek kelima tidak bekerja yang juga merupakan dalang utama kegiatan ketum itu tetapi isterinya tidak ditahan kerana tinggal di tempat lain.

“Manakala tiga daripada suspek berkenaan juga didapati sudah berkahwin.

“Kesemua suspek mengenali antara satu sama lain dan rumah tempat kejadian telah disewa oleh salah seorang suspek sejak setahun lepas dengan bayaran sewa RM1, 000 sebulan untuk dijadikan tempat melepak dan menjalankan aktiviti pengedaran ketum,” ujarnya.

Sementara itu, ujian saringan awal polis mendapati air kencing kesemua suspek negatif sebarang dadah tetapi salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (LLPK 1985) manakala empat suspek yang lain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Tegasnya, pagi tadi kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam dan Majistret membenarkan kesemua suspek telah dibenarkan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari mulai sehingga 17 Februari ini.

“Siasatan polis mendapati sebotol air ketum dijual sindiket dengan harga RM20 kepada pelanggan di sekitar Shah Alam sejak setahun lepas dan bekalan ketum diperoleh dari negeri di utara Semenanjung.

“Bekalan air ketum boleh dijual mencecah 400 botol sebulan dengan harga RM20 sebotol dan anggaran nilai rampasan air ketum sebanyak RM4,140.

“Dianggarkan rampasan air ketum tersebut dapat dibekalkan kepada seramai 276 orang pengguna air ketum jika berada di pasaran,” katanya.- MalaysiaGazette