Tindakan agresif seorang lelaki memukul bapa tiri warga emas kerana tidak memberi wang untuk membeli bekalan dadah tular di media sosial.Gambar kredit netizen.

KUALA LUMPUR – Gara-gara berang tidak diberi wang untuk membeli dadah, seorang lelaki bertindak agresif membelasah bapa tirinya di Yan, Kedah hari ini.

Lelaki berusia 30 tahun itu mengamuk sebelum menendang mangsa seorang warga emas berusia 71 tahun.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya telah menahan suspek selepas menerima laporan daripada mangsa yang tinggal di Kampung Ruat sekitar pukul 10.45 pagi tadi.

“Berdasarkan laporan, suspek dipercayai mengamuk selepas tidak diberikan wang untuk membeli bekalan dadah dan menendang bapa tirinya sebanyak dua kali pada bahagian dada serta muka.

“Suspek juga difahamkan telah menumbuk bahagian belakang kepala sebelah kiri menyebabkan telinga kiri mangsa mengalami kesakitan di rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shahnaz, mangsa kemudiannya telah keluar dari rumah berkenaan dan duduk di luar rumah bersama isterinya.

Bagaimanapun, suspek sekali bertindak kasar dengan menendang bahagian belakang badan mangsa.

“Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Yan dan disahkan mengalami bengkak di bahagian telinga kiri akibat ditumbuk oleh suspek.

“Ibunya mengesahkan bahawa suspek merupakan seorang pesakit mental serta memiliki kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Polis berjaya menahan suspek selepas kejadian itu sekitar pukul 6.45 petang di kawasan Lubok Boi,” katanya.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK)/18A Akta Keganasan Rumahtangga 2012.-MalaysiaGazette