Ketua Pegawai Eksekutif Supremacy World Global, Shahrulnizam Ahmad Shah menunjukkan pek makanan sedia dimakan yang menggunakan teknologi 'retort' ketika temubual bersama Malaysia Gazette di kilangnya di Batu Caves, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2022.

BATU CAVES – Sejak kebelakangan ini, ramai usahawan telah menggunakan teknik baharu dalam penyediaan produk makanan iaitu teknologi retort atau penstrilan.

Cara itu menjadikan produk yang dihasilkan dapat bertahan lama sehingga dua tahun tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.

Bagi segelintir individu, teknologi retort ini mungkin kedengaran baharu tetapi ia sudah lama digunakan tentera Amerika Syarikat terlibat dalam medan pertempuran sejak 1950-an.

Malah di Jepun, teknologi pek atau pembungkusan retort telah diaplikasi secara meluas dan terdapat pelbagai jenis produk di jual atas rak dari makanan yang dipanggang hingga sajian sup.

Pekerja membuat pek makanan sedia dimakan yang menggunakan teknologi ‘retort’ ketika temubual bersama Malaysia Gazette di kilangnya di Batu Caves, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2022.

Bungkusan retort adalah kaedah pembungkusan makanan dicipta dengan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan berlamina fleksibel.

Teknologi berkenaan membenarkan pensterilan pelbagai makanan dan minuman, ia dianggap aspek yang paling penting dalam pembungkusan makanan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif, World Global Supremacy Resources,  Shahrulnizam Ahmad Shah berkata, beliau sanggup melabur hampir RM100,000 untuk membeli teknologi mesin pembungkusan retort itu dalam usaha menceburi bidang tersebut.

Jelas beliau, kilang yang dibuka di tengah-tengah pandemic pada Januari 2021 itu kini mampu mengeluarkan 30,000 pek makanan retort sebulan sama ada menerusi penghasilan jenama sendiri atau pun permintaan pengeluaran produk tulen (OEM) daripada usahawan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Supremacy World Global, Shahrulnizam Ahmad Shah menunjukkan pek makanan sedia dimakan yang menggunakan teknologi ‘retort’ ketika temubual bersama Malaysia Gazette di kilangnya di Batu Caves, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2022.

“Retort ini dalam bahasa mudahnya adalah dapat meningkatkan jangka hayat makanan. Produk yang siap di masak telah dipanaskan pada suhu pensterilan dalam beberapa minit bertujuan menghapuskan bakteria dalam makanan dan menghalang ia daripada rosak.

“Pada masa sama nutrisi makanan dapat dikekalkan, malah rasanya juga lebih enak dan berkualiti,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.

Shahrulnizam yang sebelum ini menceburi bidang produk kecantikan berkata, idea untuk menceburi bidang retort itu kerana suka melancong ke luar negara dan tertarik dengan bekal pek makanan yang siap dimakan dengan hanya meletak air panas selama beberapa minit sahaja.

Justeru, beliau nekad mempelajari kursus teknologi itu yang dijalankan oleh Majlis Amanah Raya (MARA) apabila didedahkan bermula daripada asas sehingga mampu mengeluarkan sendiri produk mereka.

Katanya, permintaan masyarakat terhadap makanan sedia dimakan (ready to eat) semakin meningkat dan kini adalah peluang yang terbuka luas untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Supremacy World Global, Shahrulnizam Ahmad Shah (kanan) melihat dan membantu membuat pek makanan sedia dimakan yang menggunakan teknologi ‘retort’ ketika temubual bersama Malaysia Gazette di kilangnya di Batu Caves, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2022.

“Kami juga telah bimbing lebih 200 peserta melalui kursus dan latihan kepada komuniti dalam menghasilkan produk makanan untuk dipasarkan dengan teknologi retort.

“Apa yang menarik, kursus diadakan secara praktrikal di kilang kami bagi bagi membolehkan  peserta mempelajari berkaitan pemprosesan termal makanan yang merangkumi aspek komposisi makanan, kerosakan makanan, definisi pemprosesan termal makanan dan pengawetan makanan.

“Peserta turut mempelajari secara mendalam mengenai teknologi retort atau penstrilan produk makanan yang merangkumi aspek definisi, teknologi dan proses retort, senarai mesin, peralatan dan kelengkapan yang diperlukan,” katanya yang kini mengeluarkan pek makanan retort sebanyak sembilan menu.

Antara makanan sedia dimakan yang menggunakan teknologi ‘retort’ ketika temubual bersama Malaysia Gazette di kilangnya di Batu Caves, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2022.

Shahrulnizam turut menggalakkan lebih ramai usahawan beralih menggunakan teknologi retort, sekali gus meningkatkan permintaan produk.

Justeru, katanya peluang itu perlu diguna sebaiknya oleh usahawan terutama di dalam menambah pendapatan dan menjadi pemangkin kepada usahawan lain.

“Konsep teknologi ini juga dilihat dapat dimanfaat usahawan dalam merealisasi tanggungjawab sosial korporat melalui pemberian bantuan atau sumbangan kepada yang memerlukan seperti mangsa banjir, kebakaran dan musibah lain.

“Selain menggantikan konsep tradisional yang rumit, teknologi itu memperkenalkan konsep pek mudah, bungkusan yang ringan serta mampu tahan lebih lama,” katanya.

Bagi yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai teknologi retort ini, mereka boleh melayari Facebook Perkhidmatan Teknologi Retort.Malaysia. – MalaysiaGazette

Antara pek makanan sedia dimakan yang menggunakan teknologi ‘retort’ ketika temubual bersama Malaysia Gazette di kilangnya di Batu Caves, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast