KUALA LUMPUR – Collins Aerospace akan memperluaskan operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia dengan berpindah di kemudahan baharu seluas 160,000 kaki persegi di Subang Aerotech Park.

Syarikat itu adalah pembekal aeroangkasa dan produk pertahanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, Collins Aerospace akan melabur lebih RM16 juta untuk kemudahan baharu ini yang akan menjadi salah satu hab serantaunya untuk penyelenggaraan komponen pesawat.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, perluasan operasi Collins Aerospace di Malaysia dijangka memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan industri aeroangkasa negara.

”Lapangan Terbang Subang sudah pun menjadi tumpuan rantaian bekalan aeroangkasa negara dengan kehadiran pemain global seperti Spirit AeroSystems, Airbus Helicopters, Leonardo, Execujet dan Dassault Aviation.

“Ia kini mempunyai lebih 60 pemain dan menyokong lebih 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Iskandar berkata, Collins Aerospace bukan sahaja mengembangkan operasinya dari segi kapasiti tetapi juga memperkenalkan keupayaan lebih awal di kemudahan MRO baharu ini.

Semua akan menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau ini, juga seiring dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk menjadikan Malaysia negara aeroangkasa No 1 di Asia Tenggara, tambah beliau.

Collins Aerospace berkata, sebagai sebahagian daripada pengembangan, kemudahan itu akan menambah keupayaan MRO baharu untuk mesin kitar udara, penukar haba, pemula enjin, injap, kipas dan sistem penggeraknya dan menyokong pelbagai pesawat, termasuk B787s, B777Xs, A320s, A380s, ATR42s dan 72s, sekali gus membolehkan masa pusing ganti yang lebih pantas dan perkhidmatan yang lebih cekap kepada pelanggannya di rantau ini. – MalaysiaGazette