Para penyokong mula memenuhi Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2021 antara Johor DT dan Terengganu FC di Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Vietnam sebagai tuan rumah perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) zon Asia Timur.

Saingan ACL musim 2022 akan dijalankan secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di beberapa negara.
Semua perlawanan peringkat kumpulan Zon Asia Timur akan berlangsung pada 15 April hingga 1 Mei ini.

Malaysia yang diwakili oleh juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi tuan rumah kumpulan I yang melibatkan juara J-League, Kawasaki Frontale, kelab Liga Super China, Guangzhou FC dan satu lagi pasukan akan ditentukan melalui slot play-off sama ada Ulsan Hyundai atau Port FC.

Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.
Ini kali keempat JDT bertanding dalam saingan ACL dan skuad kendalian Benjamin Mora itu pernah mengejutkan Kashima Antlers (1-0) di Stadium Larkin dan menewaskan juara Piala FA Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Sementara itu, perlawanan kumpulan F,G dan J akan berlangsung di Thailand dan Vietnam dipilih sebagai tuan rumah untuk kumpulan H.

Pemilihan tuan rumah dibuat kerana memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh AFC iaitu keperluan logistik seperti penggunaan video bantuan pengadil (VAR), jarak perjalanan minimum kelab, padang latihan, kemudahan penerbangan dan fasiliti perubatan untuk ujian pengesanan Covid-19 kepada semua pemain dan pegawai yang kosnya ditanggung oleh AFC.

Dengan barisan pemain berkualiti ditambah pula dengan kehadiran muka baharu yang berpengalaman, JDT mampu memberikan saingan sengit dan seterusnya mencipta sejarah mara ke peringkat kalah mati. – MalaysiaGazette