anak khairy
Anak bongsu Khairy, Raif menerima suntikan vaksin Covid-19.

KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat video tular menerusi media sosial berkaitan dakwaan cecair vaksin COVID-19 yang diberikan kepada anak bongsu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah dibuang sebelum disuntik.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata bagaimanapun setakat ini beliau mengesahkan anak bongsu Khairy telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Kalau saya tengok yang ditunjuk oleh beliau (Khairy Jamaluddin) memang anaknya telah disuntik. Beliau sendiri pun sudah terima vaksin namun kita akan buat siasatan, esok saya akan memaklumkan perkara ini kepada beliau jika video berkenaan telah disunting, kita akan ambil tindakan.

“Malah, setakat ini pun kita telah banyak siasat dan ambil tindakan. Orang ramai sentiasa mencari salah walhal pengambilan vaksin berkenaan adalah satu daripada usaha kerajaan hanya untuk melindungi kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin khas (SPPV) di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

Sebelum ini timbul pelbagai tuduhan dan spekulasi bahawa jururawat yang melaksanakan vaksinasi terhadap anak bongsu Khairy membuang cecair vaksin terlebih dahulu sebelum melakukan suntikan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi meminta masyarakat supaya tidak mendengar berita-berita palsu membabitkan vaksin COVID-19 terutama daripada mereka yang bukan pakar dalam bidang berkenaan.

“Tidak ada sesiapa yang ingin melindungi apa-apa. Tidak mungkin KKM menipu dan sebagainya selain kita juga sentiasa peka berkaitan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan hanya mahu memberikan yang terbaik demi kesihatan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata untuk meyakinkan masyarakat tentang penerimaan vaksin COVID-19, pihaknya juga telah menggerakkan unit komunikasi strategik bagi memberi penjelasan berkaitan fakta dan data mengenai vaksin COVID-19.

Katanya, selain itu KKM turut menjemput pakar kanak-kanak dan sebagainya untuk memberi penerangan di stesen televisyen mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin demi kebaikan kesihatan masyarakat sekali gus melindungi mereka.

— BERNAMA