Pegawai-pegawai LHDN dalam Majlis Penyerahan Book Charity For Needy yang diadakan di Menara Hasil Cyberjaya, hari ini. Foto ihsan: LHDN

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menyumbang sebanyak 5,973 bahan bacaan kepada Perpustakaan Mini Pusat Komuniti Masyarakat Kota Anggerik melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Menurut LHDN, buku pelbagai kategori termasuk pengurusan, rujukan peperiksaan (UPSR, PT3, SPM, STPM, UPKK), fiksyen dewasa, fiksyen kanak-kanak, motivasi, sukan, agama Islam dan lain-lain disumbangkan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik untuk diserahkan kepada perpustakaan mini berkenaan.

Katanya, objektif utama Program CSR itu bertujuan untuk membantu menaik taraf pembangunan perpustakaan setempat dengan mempelbagaikan koleksi-koleksi bacaan di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma dan minat membaca dalam kalangan Keluarga LHDN.

“Adalah diharapkan bahawa sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu Pusat Komuniti Masyarakat Kota Anggerik dalam usaha mempelbagaikan koleksi bahan rujukan di Perpustakaan Mini yang akan dimanfaatkan sebaiknya bagi memupuk amalan
membaca,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, Program CSR tersebut merupakan siri Kempen Jom Derma Buku yang telah dimulakan sejak April 2019 oleh LHDN dan akan diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara bagi membantu komuniti yang memerlukan dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette