Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA – Penyokong bola sepak tempatan masih tidak dibenarkan makan dan minum di dalam stadium pada musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih pada 26 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam memberitahu, permintaan untuk memberi kebenaran kepada penyokong makan dan minum merupakan satu daripada tiga pertimbangan ditawarkan badan pengelola liga tempatan itu yang ditolak kerajaan untuk musim baharu Liga-M.

Katanya, pertimbangan kedua melibatkan kebenaran bagi pemain yang disahkan negatif Covid-19 namun mempunyai kontak rapat dengan pemain positif jangkitan virus itu untuk terus bermain, berbanding perlu menjalani tempoh kuarantin ketika ini.

“Kita menggunakan peraturan antarabangsa untuk pertimbangan kedua ini… kita telah alami di Piala AFF 2022 baru-baru ini yang mana terdapat dua pemain berkongsi bilik namun pemain yang negatif boleh main manakala positif kuarantin dalam bilik.

“Peraturan itu bukan kami cipta sendiri tetapi telah dilaksanakan di peringkat antarabangsa namun kita dapat maklum balas sebab peraturan kerajaan lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama bersama rakan penaja baharu Liga-M, Luno, sebuah syarikat aset digital di Malaysia.

Selain itu, Stuart berkata, pihaknya turut mencadangkan kuota kemasukan penyokong ditambah namun dengan syarat kedua-dua permintaan lain itu ditunaikan kerajaan terlebih dahulu.

Pada Oktober lalu, MFL menyatakan 50 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 20,000 penonton di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir ke stadium.

Bagaimanapun, beliau berkata, MFL memahami pihaknya perlu berwaspada dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini dan akur dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Stuart berkata, ini kerana sebagai rakan kerajaan, mereka bertanggungjawab memastikan keselamatan semua pihak terjamin terutamanya dalam membendung penularan Covid-19. – MalaysiaGazette