Stuart Ramalingam

PETALING JAYA – Pasukan Perak FC perlu menyelesaikan segera tunggakan bayaran terhadap pemainnya jika mahu menyertai mana-mana liga.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, ini kerana pasukan itu masih belum menyelesaikan tunggakan hutang RM1.7 juta.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, walaupun bayaran dibuat tetapi pihaknya memerlukan tempoh tertentu untuk melepaskan pendaftaram.

“Kalau ikut pengalaman saya semasa di FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dulu kita perlu ambil dalam tujuh hari.

“Sebab pembayaran itu tidak bermakna saya bayar jam 3, jam 4 dah boleh masukkan pemain dalam pendaftaran, tidak, tidak seperti itu.

“Langkahnya adalah FIFA akan tulis kepada peguam dan pemain untuk memastikan sama ada bayaran sudah diterima atau belum atau sangkut di mana-mana.

“Jadi, untuk pengiraan yang betul-betul tepat adalah tujuh hari yang kita cadang kepada Perak FC sebagaimana yang pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rakan Kongsi Pelaburan Crypto Liga Bola Sepak Malaysia, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri G Irudianathan dilapor berkata, pengurusan Perak FC sedang berusaha menyelesaikan masalah isu tunggakan hutang mereka yang berjumlah RM1.7 juta dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini.

Pasukan terbabit masih lagi disekat daripada mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta.

Sekiranya pembayaran gagal diselesaikan, maka Perak FC terpaksa menggunakan khidmat pemain sedia ada bagi mengharungi saingan Liga Perdana yang akan bermula 5 Mac ini.

Difahamkan, hutang tersebut membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import selain, turut berkaitan pembayaran kepada ejen pemain.

Dengan tarikh tutup pendaftaran berbaki 10 hari lagi, agak mustahil buat skuad Bos Gaurus menyelesaikan hutang berkenaan dalam tempoh terdekat ini. – MalaysiaGazette