Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang suri rumah kerugian RM35,000 setelah terjerat dengan sindiket pekerjaan menerusi Whatsapp dalam kejadian di Raub.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita yang berusia 35 tahun itu dihubungi suspek dan menawarkan kerja sambilan daripada pihak Shopee yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Mangsa bersetuju untuk menyertai kerja sambilan pada 11 Februari lalu dan diminta untuk menyelesaikan tugasan iaitu ‘like’ iklan Shoppe menerusi pautan yang akan diberikan serta memasukkan wang bagi mendapat keuntungan.

“Mangsa telah membuat transaksi pada 12 dan 13 Februari dan menerima keuntungan dua kali berjumlah RM510 dan RM124.

Selepas mangsa melakukan enam lagi transaksi berjumla RM35,000 ke dalam tiga akaun berbeza, mangsa tidak lagi menerima keuntungan sepeti yang dijanjikan.

Apabila pengadu menyedari dirinya ditipu, pengadu hadir ke Balai Polis Raub untuk membuat laporan.

Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Tambahnya dalam kejadian berasingan di Kuantan, seorang akauntan berusia 26 tahun turut menjadi mangsa penipuan skim pekerjaan tidak wujud mengalami kerugian RM14,005.

“Bermodus operandi yang sama, suspek telah memperdaya dengan menawarkan kerja sambilan yang tidak wujud sehingga pengadu mengalami kerugian,” katanya. – MalaysiaGazette