KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menangguhkan istiadat konvokesyennya ke-11 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 Februari ini.

Naib Canselornya, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira situasi terkini kes penularan Covid-19 yang menunjukkan peningkatan serius.

“Langkah positif ini adalah penting sebagai tindakan pengawalan risiko terhadap kesihatan awam demi memastikan kesejahteraan serta keselamatan khususnya para graduan dan ahli keluarga serta warga Universiti sentiasa terpelihara,” kata beliau menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya memahami serta prihatin terhadap keterujaan para graduan untuk meraikan kejayaan masing-masing dalam istiadat konvokesyen tersebut.

Bagaimanapun katanya, tarikh baharu konvokesyen UPNM akan dimaklumkan kemudian apabila keadaan mengizinkan.

“Maklumat lanjut tentang perkara itu akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak UPNM juga ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul berikutan penangguhan Istiadat Konvokesyen ini dan amat menghargai segala jasa baik, sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak.

“Bersamalah kita berdoa mudah-mudahan keadaan situasi akan bertambah baik bagi merealisasikan hasrat pelaksanaan Istiadat Konvokesyen UPNM,” ujar beliau. – MalaysiaGazette