Tim Leissner. foto Getty Images

NEW YORK – Bekas rakan kongsi Goldman Sachs yang memberi keterangan di mahkamah pada hari Rabu mengakui “ketamakan dan cita-cita” mendorong penglibatannya dalam skandal rasuah hingga merompak berbilion-bilion dolar milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tim Leissner, bekas Ketua Pegawai Operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara adalah saksi utama dalam perbicaraan jenayah membabitkan Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan bank itu di Malaysia.

Perbicaraan bermula pada hari Isnin lalu di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn.

Pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB namun Ng mengaku tidak bersalah bersubahat melakukan penggubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah.

Leissner, 52, pada 2018 mengaku bersalah atas tuduhan serupa dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan.

Ketika memberi keterangan, Leissner berkata, Ng adalah jurubank utama Goldman Sachs yang berurusan dengan 1MDB dan berhubung baik dengan usahawan Malaysia yang dalam buruan, Jho Low sejak tahun 2008.

Malah, katanya, Jho Low merupakan perantara utama antara bank dan 1MDB.

Leissner berkata, pembabitan Goldman Sachs dalam penerbitan bon bernilai AS$6.5 bilion dan memperoleh bayaran AS$600 juta ”dengan serta-merta menjadikan kami hero” dalam bank tersebut.

“Ketamakan dan cita-cita saya menguasainya,” kata Leissner, sambil mengakui tindakan beliau telah memusnahkan hidupnya.

Tetapi pendakwa Amerika Syarikat berkata, wang bernilai AS$4.5 bilion telah digunakan sebagai rasuah untuk ahli politik Malaysia dan individu lain, yang membelanjakan untuk seni, barang kemas dan harta benda.

“Sogokan dan sogokan menjadikan transaksi itu mungkin,” kata Leissner kepada mahkamah

Beliau juga berkata, pegawai-pegawai bank di Goldman Sachs akan ditugaskan bagi setiap tawaran pelanggan mereka dan kehilangan pelanggan dianggap suatu perkara yang “tidak boleh diterima”.

“Bagi saya fokus utama ialah apa sahaja yang diperlukan untuk menyelesaikan transaksi ini adalah demi Goldman Sachs,” katanya.

Peguam bela Marc Agnifilo yang mewakili Ng dalam kenyataan pembukaan perbicaraan Isnin lalu berkata, Ng tidak mempunyai peranan dalam skandal yang didakwa dilakukan oleh Leissner dan Low.

Bagaimanapun, pendakwa Amerika Syarikat itu berkata, dana berjumlah AS$4.5 bilion yang diperoleh daripada urus niaga itu telah dialihkan.

Bank itu pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengatur supaya operasi bank itu Malaysia mengaku bersalah di mahkamah Amerika Syarikat.

Ketika memberi keterangan di mahkamah, Leissner berkata, dalam mesyuarat di London pada 2012, Low telah menyenaraikan individu-individu di Malaysia dan Abu Dhabi yang menurutnya perlu disogok bagi meraih AS$1.75 bilion hutang untuk 1MDB memenangi kelulusan.

Sebuah syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi bertindak sebagai penjamin untuk 1MDB dalam perjanjian itu, kata Leissner.

Leisnner mendakwa, Low berkata “dana yang diraih tidak boleh kurang daripada AS$100 juta,” menurut keterangan Leissner.

Najib, yang terpaksa melepaskan jawatan pada 2018, dituduh oleh pihak berkuasa Malaysia menerima lebih daripada AS$1 bilion daripada dana 1MDB dan kini merayu daripada menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Bekas perdana menteri itu juga secara konsisten menafikan salah laku membabitkan 1MDB.

Pendakwa raya mengesahkan Leissner, yang masih belum dijatuhkan hukuman, akan menerima hukuman yang lebih ringan kerana memberi kerjasama namun katanya, keterangan Leissner akan disokong oleh bukti lain.

Agnifilo dalam hujah balasnya berkata, Leissner berbohong kepada pendakwa raya mengenai penglibatan Ng.

Semasa kenyataan pembukaannya, Agnifilo telah menyerang kredibiliti Leissner, menggambarkannya bekas pengarah Goldman Sachs itu sebagai seorang sosialit yang mencuri untuk membiayai gaya hidup mewahnya

Peguam Leissner enggan mengulas tuduhan tersebut.

Low, yang dituduh dalang utama di sebalik skandal itu, telah didakwa di Amerika Syarikat bersama Ng pada 2018 namun dia masih belum berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat atau Malaysia. – Reuters (https://www.reuters.com/markets/us/ex-goldman-partner-testify-against-former-colleague-1mdb-corruption-trial-2022-02-16/)