Pan Gon (dua dari kanan) bersama barisan kejurulatihannya diperkenalkan secara rasmi oleh FAM dalam sidang media khas di FAM Kelana Jaya hari ini. Foto FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini memperkenalkan ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Kim Pan Gon.

Ia merupakan sesi pertama beliau selepas tiba di tanah air dan selesai menjalani tempoh kuarantin.

Pengendali dari Korea yang bakal mencecah usia 53 tahun pada 1 Mei ini telah diumum namanya sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin  Mohd Amin pada 21 Januari lalu.

Serentak dengan pengenalan itu, Pan Gon turut mengumumkan senarai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baharu di bawah kendaliannya.

Mereka ialah Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Sementara, seorang lagi penolong jurulatih dalam kalangan jurulatih tempatan akan dinamakan kemudian oleh Pan Gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap beberapa calon.

“Saya menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dengan satu penghormatan yang cukup tinggi dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan barisan Exco FAM kerana memberi peluang kepada saya, serta kepada para penyokong yang menyambut baik kehadiran saya ini.

“Saya sudah biasa dengan projek F30 untuk pasukan kebangsaan Malaysia dan saya amat sedar bahawa kita mempunyai matlamat untuk menjangkaui tahap Asia Tenggara.

“Matlamat inilah yang menyebabkan saya dan pasukan saya ini berada di sini dan saya berjanji akan cuba sedaya upaya membawa pasukan kebangsaan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam sidang media tersebut.

Pan Gon percaya pasukan Malaysia mempunyai potensi besar dan berharap barisan kejurulatihan diberi masa untuk membina asas kukuh terlebih dahulu sebelum  bergerak ke arah matlamat yang lebih besar.

Beliau percaya dengan moto Malaysia “Perpaduan adalah kekuatan”,  matlamat itu dapat dicapai bersama.

Sidang media ini dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar; Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Exco FAM, Christopher Raj yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac 2022 dan Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura sebagai persiapan  menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun 2022.

Mengikut rekod pengalaman Pan Gon pernah menjadi Pengarah Pasukan Kebangsaan  Persatuan Bolasepak Korea (KFA) dari 2018 hingga kini.

Beliau juga menjadi ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong dari 2012 hingga 2017.

Dalam pada itu, penolong jurulatihnya Pau Marti Vicente,39 , pula pernah menjadi Penolong Jurulatih FC Barcelona Bawah 18 tahun, selain Penolong Jurulatih FC Barcelona B sejak 2018.- MalaysiaGazette