petugas kesihatan
Seorang petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19, namun tidak mempunyai gejala tidak perlu lagi menjalani kuarantin.

Mereka hanya perlu menjalani ujian saringan pada hari tertentu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, protokol baharu ini dilaksanakan selepas menilai peningkatan kontak rapat sejak kebelakangan ini yang dilihat menjejaskan pengurusan kerja.

Katanya, petugas kesihatan di sektor swasta juga disarankan untuk melaksanakan protokol berkenaan.

“Sekarang ini, kontak rapat sangat kerap berlaku sebab kes meningkat, ramai yang menjadi kontak rapat bukan disebabkan sengaja. Apabila ini berlaku, gangguan kepada ekonomi kepada pengurusan pekerjaan dan sebagainya sangat ketara,” katanya ketika sidang media.

Menurut Khairy, pekeliling pelaksanaan protokol berkenaan telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tambah beliau, protokol ini kemungkinan akan dilaksanakan secara meluas berdasarkan kesesuaian masa kelak.

Sementara itu, Menteri Kesihatan berkenaan memaklumkan telah mengarahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) memastikan semua pembekal memastikan kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran berada dalam kualiti yang baik.

Dalam masa yang sama kata Khairy, MDA perlu memastikan pembekal mendapat jaminan kualiti yang dikeluarkan daripada pengilang kit ujian.

“Ada isu baru-baru ini jenama A tunjuk keputusan negatif, jenama B positif. Saya telah mengarah MDA agensi peranti perubahan di bawah KKM panggil semua pembekal kit ujian kendiri untuk buat satu penilaian terhadap aduan-aduan yang kita telah terima,” tambahnya.

Terbaharu dilaporkan, MDA boleh merampas kit ujian kendiri Covid-19 tidak berdaftar serta tidak mempunyai kelulusan bersyarat yang dijual di pasaran.

Sehingga kini dilaporkan, sebanyak 44 surat amaran daripada MDA dikeluarkan ke atas syarikat jual kit ujian kendiri tidak berdaftar-MalaysiaGazette