Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembekalan agensi itu lima tahun lalu

MELAKA – Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembekalan agensi itu lima tahun lalu

Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesebet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM1,500 daripada seorang lelaki sebagai upah kepadanya yang ketika itu merupakan Pengarah AADK Melaka memilih sebuah syarikat bagi kerja-kerja penyelenggaraan lokap AADK Jasin.

Tertuduh yang kini yang kini merupakan Timbalan Pengarah AADK Pulau Pinang didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat AADK Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh, 24 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima suapan RM4,500 di lokasi dan daripada lelaki sama bagi memilih sebuah syarikat untuk perkhidmatan mencetak dan membekal beg kertas untuk AADK Melaka pada 21 Jun 2018.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan RM2,500 daripada lelaki dan lokasi sama bagi memilih sebuah syarikat untuk menyelenggara set generator di AADK Jasin pada 15 Mac 2019.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan ke empat menerima suapan berjumlah RM1,500 daripada lelaki dan lokasi sama dengan memilih sebuah syarikat untuk menyediakan kelengkapan makan dan minum program AADK Melaka pada 19 Mac 2019.

Keempat-empat pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu menerima untuk diri sendiri wang tunai berjumlah RM5,900 daripada individu sama.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Irwanshah menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah sebulan sekali sehingga kes selesai.

Tertuduh bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan.

Hakim Elesabet Paya Wan kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.- MalaysiaGazette