parti Malaysian United Democratic Alliance MUDA membership Bong Jenn Foong
PRN Johor merupakan penampilan pertama MUDA dalam pilihan raya selepas menerima surat rasmi pendaftaran pada 28 Dis tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selaku parti baharu perlu menghormati proses rundingan dengan PKR, terutama berkenaan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah menurut Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Saifuddin Shafi, rundingan berkaitan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor juga masih belum selesai.

“Malah rundingan juga belum lagi selesai dan selaku parti yang baru sahaja menyertai khemah besar Pakatan Harapan, maka MUDA sewajarnya berdiri teguh bersama PH dan menghormati proses rundingan agar kita dapat mengambil langkah pertama yang tepat dan baik,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, PKR bukan parti yang sewenangnya boleh dipelekehkan walaupun sentiasa terbuka untuk perbincangan.

“Justeru, harus diingat bahawa Keadilan sentiasa mengamalkan kepentingan semangat konsensus tetapi pada masa yang sama Keadilan juga bukanlah parti yang boleh sewenangnya diperkecilkan apatah lagi dengan sumbangan dan kewibawaan yang telah dibuktikan,” katanya lagi.

Terdahulu Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rundingan kerjasama politik antara parti itu dengan PKR berhubung pembahagian kerusi di Johor gagal mencapai kata sepakat.

Beliau mendakwa, ia berpunca daripada tindakan PKR yang telah mengumumkan calon di kesemua 20 DUN yang diserahkan kepada parti itu oleh Pakatan Harapan (PH).

Sebagai rekod, DAP dan Amanah memperuntukkan enam kerusi untuk MUDA di DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, dan Bukit Permai.

Sementara itu, Saifuddin turut mengesa MUDA supaya fokus kepada musuh sebenar yang perlu dikalahkan menjelang PRN negeri berkenaan.

“Kesatuan ataupun Unity adalah kunci kejayaan pembangkang pada PRU-14 dan inilah yang wajar menjadi intipati semua pihak pada masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette