Rina Harun (kanan) beramah mesra dengan salah seorang usahawan dalam Program Keusahawanan Wanita Bangkit, di Hotel Trove, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pengukuhan ekonomi dalam kalangan wanita dilihat penting dalam menyumbang pertumbuhan ekonomi negara dan mampu mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kewangan merupakan antara faktor utama menyebabkan keruntuhan sesebuah keluarga.

Wanita juga, jelasnya memainkan peranan penting dan bukan sekadar sebagai suri rumah malah turut membantu ekonomi keluarga.

“Kalau kita lihat, banyak kes seperti keganasan rumah tangga, penceraian berlaku dan apabila kita semak, kebanyakan daripada isu ini berpunca akibat masalah ekonomi keluarga berkenaan.

“Dalam tempoh pandemik ini, ramai pihak kehilangan pekerjaan, kehilangan pendapatan namun kehidupan tetap perlu diteruskan dan anak-anak tetap perlu diberi makan, bayaran rumah dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rina berkata, kementeriannya mahu membantu seramai mungkin golongan wanita menjana pendapatan sama ada mencari pekerjaan atau menceburi bidang perniagaan.

Bantuan yang diberi melalui pelbagai platform termasuk memberi peluang bekerja atau berniaga kepada golongan wanita.

Menurutnya, Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM telah membantu seramai 5,135 orang wanita dengan 4,541 telah memulakan perniagaan kecil-kecilan selain 594 wanita telah ditawar pekerjaan dalam sektor formal.-MalaysiaGazette