Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2022 bertema Kebersamaan Sesama Keluarga Malaysia di Iskandar Puteri, Johor.

PUTERI ISKANDAR – Rakyat di negara ini seharusnya menjadikan perbezaan antara kaum sebagai satu kelebihan dan keistimewaan untuk merapatkan hubungan.

Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, di sebalik perbezaan itu, rakyat juga harus mengutamakan sikap toleransi dan saling memahami tentang agama, adat dan budaya yang sudah terjalin sekian lama.

“Kita dapat melakukan ini dan kita mampu untuk hidup aman dan harmoni, sekali gus dapat menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar, Keluarga Malaysia.

“Kita telah menyaksikan seluruh Keluarga Malaysia, ketika berdepan saat sukar seperti pandemik Covid-19, berganding bahu menyumbang untuk memulihkan semula negara. Tidak kira apa jua bangsa dan agama, kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.

“Saya yakin tahun 2022 akan membawa sinar baharu kepada kita semua sebagai negara yang berbilang bangsa dalam menghadapi cabaran dan dugaan mendatang demi melakar Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2022 bertema Keberkesanan Sesama Keluarga Malaysia di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, di sini, malam ini.

Perdana Menteri berharap Tahun Baru Cina kali ini dapat menjauhkan negara daripada sebarang anasir tidak baik.

“Setiap haiwan mempunyai personaliti dan tuah yang berbeza. Tahun Baru Cina 2022 ialah Tahun Harimau, iaitu haiwan
ketiga dalam kitaran 12 haiwan Zodiak Cina.

“Dikenali sebagai raja segala binatang, zodiak ini dikaitkan dengan kekuatan, mengusir kejahatan dan keberanian.

“ Ia menjadi lambang atau bukti bahawa kita mampu menangani sebarang ancaman dan dugaan secara bersama. Kebersamaan inilah yang menguatkan kita,” katanya. – MalaysiaGazette