Datuk Hamidin (tiga dari kiri) merasmikan Padang Kopa Arena Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN –  Teka-teki siapa jurulatih tempatan yang akan menjadi pembantu Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon bakal terjawab minggu depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan mengumumkan nama jurulatih tersebut pada Selasa atau Rabu depan.

“Pemilihan dibuat Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan diikuti Pan Gon. Mereka ini merupakan individu dalam FAM jadi pemilihan mereka merupakan keputusan FAM.

“InsyaAllah nama jurulatih tempatan itu akan diumumkan pada hari Selasa atau Rabu ini,” katanya selepas merasmikan Padang Kopa Arena Universiti Sains Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada Pan Gon mampu mengubah prestasi skuad Kebangsaan, Hamidin berkata, pihaknya akan berusaha untuk lebih berjaya daripada sebelum ini.

“Kita nak berubah, kalau terlalu negatif tak boleh maju.

“Jadi apa yang boleh saya kata ketika ini kita akan lebih berjaya daripada sebelum ini,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan FAM telah menyenarai pendek dua nama jurulatih tempatan sebagai pembantu Kim Pan Gon.

Namun Ketua Jurulatih baharu itu mahu berjumpa dengan tujuh jurulatih yang disenaraikan dalam pemilihan tersebut.

Bekas jurulatih pasukan Hong Kong itu memaklumkan pertemuan tersebut akan dilakukan secara peribadi, minggu depan. – MalaysiaGazette