Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) bersama Timbalannya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid (kanan) merasmikan 'Road to Expo 2020 Dubai' selepas Program Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM197 juta telah dimeterai oleh syarikat tempatan dengan syarikat luar negara pada Expo 2020 Dubai.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerjasama yang dimeterai akan dapat membantu Malaysia mempromosi dan mengembangkan potensi negara khususnya dalam bidang pertanian lestari.

“MoU itu merangkumi kerjasama meluas dalam penyelidikan dan pembangunan, perdagangan dan pengedaran, akses pasaran, aktiviti komersial, pelaburan, pemindahan teknologi, serta penjualan, pemasaran produk dan perkhidmatan. Menurut beliau, kerjasama ini akan terus meningkatkan usaha pertanian lestari kerajaan Malaysia selain dapat menangani masalah perubahan iklim.

“Malaysia berada di barisan hadapan dalam mencari penyelesaian lestari bagi menangani masalah pengeluaran makanan dan keselamatan. Minggu Pertanian Lestari Malaysia di EXPO 2020 Dubai adalah satu inisiatif penting yang akan memacu dan meningkatkan peluang pelaburan dan kerjasama dalam pertanian lestari dan juga menyemarakkan usaha menentang perubahan iklim.

“Kami percaya komitmen UAE terhadap pemikiran inovatif dan pembangunan lestari akan mempercepatkan hala tuju Malaysia ke arah penggunaan teknologi dan pemodenan dalam pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Minggu Pertanian Lestari yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah pada Expo 2020 Dubai.

Katanya, lima daripada MoU yang telah ditanda tangan syarikat-syarikat tempatan pada hari ini dengan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) bernilai jutaan ringgit.

Kerjasama tersebut merupakan acara kemuncak Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia, Expo 2020 Dubai pada hari ini.

Kata Ronald, usaha berkenaan dalam masa yang sama akan dapat mengukuhkan hubungan ekonomi di antara kedua-dua negara.

Selain UAE syarikat-syarikat Malaysia telah memeterai MoU dengan syarikat-syarikat dari Mesir, Jerman dan Maldives.

Kata Ronald lagi, tumpuan utama yang digariskan dalam MoU yang telah ditandatangani hari ini adalah bidang biodiversiti yang melibatkan kesejahteraan, buah-buahan tanah tropika dan hasil sampingannya, pertanian bandar pintar, penyelesaian pertanian pintar, dan Sisa Kekayaan.

“Tumpuan khas juga akan diberikan kepada Kelestarian Masakan, Teknologi dan Penyelesaian Pertanian Termaju, serta Peluang Pelaburan untuk Kelestarian Pertanian,” katanya lagi.

Acara Minggu Pertanian Lestari yang bermula dari Isnin, 21 Februari hingga Jumaat, 26 Februari 2022, dijangka menarik lebih 2,000 pengunjung dan delegasi.

Dengan penyertaan lebih 20 syarikat dan organisasi Malaysia, acara itu turut menyasarkan untuk menarik kerjasama global dan platform perkongsian pengetahuan bagi mencipta peluang dan penyelesaian baharu melalui pertanian lestari untuk menangani isu-isu kritikal seperti pandemik Covid-19, kemiskinan, dan perubahan iklim.

Dalam masa yang sama, sepanjang acara tersebut syarikat-syarikat Malaysia juga bakal melancar dan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan pertanian yang laris di samping menembusi pasaran serantau menggunakan UAE sebagai pintu masuk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast