Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Program Insiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Program Semarak Niaga yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dirangka agar komuniti usahawan negara terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana PMKS) mampu bangkit semula dan terus berkembang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, pembentangan Bajet 2022 yang merangkumi pelbagai usaha pemudah cara perniagaan, serta pelbagai insentif cukai akan dapat membantu negara mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan untuk Keluarga Malaysia pada tahun ini, sekali gus melonjakkan lagi ekonomi negara.

“Walaupun mengalami penguncupan sebanyak 7.3 peratus pada tahun 2020, sumbangan sektor perniagaan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, (atau PMKS), kekal signifikan.

“Ini adalah kerana pada tahun tersebut, selain menggaji lebih dari 7 juta pekerja, PMKS menyumbang hampir 40 peratus daripada KDNK, dan lebih dari 13 peratus eksport negara.

“Oleh itu, amatlah penting supaya kerajaan memastikan sektor perniagaan kita terus berdaya tahan,” katanya sempena perasmian Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang dirasmikan Ismail Sabri, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, inisiatif yang bernilai lebih daripada RM40 bilion ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan, dan suntikan ekuiti yang akan memanfaatkan setiap golongan usahawan.

Jelas Tengku Zafrul lagi, sumbangan sektor perniagaan PMKS kekal signifikan kepada negara walaupun mengalami penguncupan sebanyak 7.3 peratus pada tahun 2020.

Ini katanya, adalah kerana pada tahun berkenaan, selain menggaji lebih dari tujuh juta pekerja, PMKS menyumbang hampir 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan lebih dari 13 peratus eksport negara.

Justeru itu, Tengku Zafrul berkata, amatlah penting supaya kerajaan memastikan sektor perniagaan terus berdaya tahan.

“Demi mencapai matlamat ini, di bawah Bajet 2022, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia direncana dengan tujuan bagi mengembalikan keupayaan perniagaan melalui akses kepada pelbagai pembiayaan.

“Bernilai lebih daripada RM40 bilion, program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan, dan suntikan ekuiti yang akan memanfaatkan setiap golongan usahawan.

“Selain daripada akses kepada pembiayaan, strategi untuk membina daya tahan sektor perniagaan juga tertumpu kepada inisiatif yang akan memacu pelaburan strategik, memudah cara perniagaan, serta memperkasakan agenda digitalisasi dan kelestarian bagi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, kementeriannya terus komited untuk menjadi sebuah kementerian yang responsif, serta bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal.

“Oleh itu, selain dari Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan tahun ini, satu Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (atau JPB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri juga telah ditubuhkan.

“Penubuhan JPB ini akan memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif Bajet 2022, termasuk langkah-langkah di bawah Semarak Niaga, bagi memastikan keberkesanan dan penyampaian yang cekap,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast