KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai antara kadar penyakit buah pinggang tertinggi di dunia dengan lebih 7, 000 orang didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang setiap tahun.
Malah pemindahan buah pinggang sering dilihat sebagai penyelesaian yang ideal untuk seseorang mengalami kegagalan buah pinggang.
Bagaimanapun, rawatan dialisis tetap adalah satu-satunya pilihan sebenar yang tersedia disebabkan jumlah buah pinggang penderma yang terhad bagi kebanyakan pesakit.
Justeru Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) akan menganjurkan Persidangan Dialisis Tahunan Ke-16 2022 di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada 5 dan 6 Mac ini, kata NKF dalam satu kenyataan hari ini.
Persidangan bertemakan “Penjagaan Holistik dalam Dialisis”, dianjurkan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2022 supaya dapat memberi tumpuan kepada penjagaan paliatif dalam dialisis antara sesi bermaklumat lain yang diketuai oleh pakar terkemuka.
Persidangan juga bertujuan untuk membincangkan dan berkongsi pengetahuan tentang perkembangan terkini dalam penyelidikan buah pinggang yang akan membawa kepada hasil yang lebih baik dan kualiti hidup untuk pesakit dan penjaga mereka.
Sementara itu, topik penting lain yang akan dibincangkan termasuk hemodialisis atau HDX yang diperluaskan, kehamilan dalam dialisis dan isu psikoseksual dalam pesakit dialisis.- MalaysiaGazette