Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 22 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Ketagihan internet, tahap kesedaran kewarganegaraan digital yang rendah serta kawalan kurang efektif oleh ibu bapa menyebabkan peningkatan risiko keselamatan siber terhadap generasi muda.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara berkenaan antara hasil kajian yang didapati menerusi Kajian Tanda Aras Tahap Kesedaran Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/2022.

Katanya, antara yang perlu diberi penekanan adalah akses kepada kandungan internet yang tidak sesuai, risiko transaksi dalam talian, kurang kefasihan digital, kelemahan dalam pengurusan kata laluan, ancaman daripada orang yang tidak dikenali, serangan pancingan data (phishing) serta privasi dalam talian.

“Sudah pun dapat penemuan menarik dan memeranjatkan misalnya ketagihan internet. Difahamkan kadar ketagihan internet di Malaysia lebih tinggi berbanding negara lain.

“Sekali lagi ketagihan itu mungkin bersifat positif bimbang ketagihan yang dikaitkan dengan unsur negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 anjuran CyberSecurity Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Sehubungan itu katanya, semua pihak digesa bekerjasama dalam usaha meningkatkan kesedaran untuk membina daya tahan generasi muda agar berhadapan dengan ancaman siber.

Tambahnya, institusi keluarga juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan internet dalam kalangan generasi muda terkawal.

“Justeru itu, kesedaran terhadap komponen-komponen ini perlu dipertingkatkan untuk membina daya tahan generasi muda terhadap ancaman dan serangan siber.

“Ini penting agar mereka mampu bertahan sewaktu mengalami insiden-insiden tersebut, pulih segera dan kembali kepada keadaan asal serta mengambil pengajaran (iktibar) dari ancaman dan serangan siber yang dialami.

“Psikologi generasi muda yang stabil adalah sangat penting untuk proses perkembangan fizikal dan mental yang sihat,” tambah beliau.

Terdahulu, Kajian Tanda Aras Tahap Kesedaran Keselamatan Siber dikendalikan oleh penyelidik akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melibatkan murid-murid sekolah serta ibu bapa di seluruh negara ini merupakan satu kajian yang komprehensif lagi terangkum meliputi pelbagai aspek penggunaan teknologi digital.

Kajian berkenaan dilaksanakan untuk melihat tahap kesedaran keselamatan siber secara menyeluruh, pola tingkah laku serta kecenderungan trend penggunaan teknologi, Internet dan media sosial.

Seramai 16,908 responden terdiri dari 13,953 pelajar sekolah termasuk pelajar pendidikan khas dan 2,955 ibu bapa mengambil bahagian di dalam kajian ini, yang dilaksanakan pada 16 November hingga 3 Disember 2021.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast