religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang,  Dr. P. Ramasamy membabitkan sebuah hantarannya dalam Facebook berkaitan isu berkaitan penukaran agama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima laporan terhadap pemimpin DAP itu.

“PDRM sahkan telah menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran Facebook Dr. Ramasamy bertajuk ‘Penukaran Agama Secara Unilateral Di Perlis? Perasaan situasi yang berulang lagi.’

“Hantaran bertarikh 13 Februari 2022 dikatakan bersifat provokatif dan telah mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak- anak puan Loh Siew Hong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd Jalil, siasatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Ramasamy disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau
perkhidmatan rangkaian.

“Setakat 23 Februari 2022, sebanyak enam laporan polis telah diterima berhubung isu yang sama dan siasatan masih diteruskan sementara PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Orang DAP yang buat hal sepatutnya tidak libatkan parti . Tapi sayang musuh mereka ambil kesempatan atas nama DAP lalu jadilah DAP itu anti Islam . Untuk mengelak Sabitan kes libatkan parti DAP patut bertindak wajar beri amaran atau pecat

Comments are closed.