KUALA LUMPUR – Sehingga jam 6 petang, pemulihan bekalan air di 41 kawasan yang terjejas telah mencapai 32%.

Bekalan air di seluruh kawasan Petaling sudah pulih 100 peratus manakala Klang masih belum pulih, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Sebanyak 41 kawasan mengalami gangguan air selepas sistem elektrikal di Rumah Pam Bukit Jelutong U8 mengalami kerosakan semalam.

Air Selangor berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain
bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Bekalan air di 41 kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi, esok.

Bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.

Para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian dan berharap agar para pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette