Home Utama Gempa bumi: Bangunan LHDN Melaka retak, urusan ditangguh sementara

Gempa bumi: Bangunan LHDN Melaka retak, urusan ditangguh sementara

MELAKA – Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Melaka diarah tutup sementara susulan mengalami keretakan baharu dari tingkat satu hingga lapan bangunan, kesan gempa bumi di Indonesia pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette kira-kira jam 11.45 pagi tadi mendapati, beberapa kenderaan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat keluar daripada bangunan berkenaan yang terletak di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Usaha wartawan untuk memasuki bangunan lapan tingkat berkenaan juga gagal apabila kakitangan memaklumkan ianya ditutup susulan mengalami keretakan akibat gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter yang melanda Pasaman Barat di Sumatera Barat, Indonesia 9.39 pagi tadi.

Sementara itu Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Memang ada keretakan kecil yang baharu berlaku dan tadi pun kita ada periksa bersama dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang mana kakitangan LHDN juga mengesahkan rekahan itu baru berlaku.

“Setakat ini kita serahkan kepada JKR mengenai nasihat kepakaran keselamatan bangunan dan sekiranya rekahan itu menjejaskan struktur bangunan, JKR yang perlu mengeluarkan arahan selanjutnya sama ada perlu tutup atau tidak,” katanya.

Terdahulu LDHN menerusi akaun Facebook rasminya hari ini memaklumkan perkhidmatan kaunter dan telefon di beberapa cawangannya di Semenanjung Malaysia akan mengalami gangguan hari ini.

“Susulan gegaran yang berlaku ekoran gempa bumi di Indonesia, dimaklumkan bahawa perkhidmatan kaunter dan telefon di beberapa cawangan LHDN di Semenanjung Malaysia akan mengalami gangguan pada hari ini, 25 Februari 2022.

“Segala kesulitan amat dikesali,” katanya.

Pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi akaun Twitternya mengesahkan berlaku gempa bumi berskala 6.1 menggegarkan utara Sumatra pada jam 9.39 pagi.

Pusat gempa bumi itu katanya, terletak 76 kilometer barat laut Payakumbuh, Sumatra pada kedalaman 10 kilometer.

“Gegaran itu boleh dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor namun tiada ancaman tsunami,” katanya menerusi akaun Twitter. – MalaysiaGazette