Nafuzi Zain. Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuz Zain mengakui pertembungan sukar menanti mereka seawal pusingan pertama Piala FA 2022 apabila diundi berdepan Negeri Sembilan FC.

Ini merupakan tugas yang pertama untuk Nafuzi selaku ketua jurulatih di pentas Piala FA selepas kejohanan itu dibatalkan dua musim berturut-turut di mana kali terakhir skuad ini bergelar juara adalah pada tahun 2011.

Namun, beliau optimis pasukan akan bersedia menghadapi Negeri Sembilan untuk memastikan mereka mampu mengharungi pusingan pertama ini terlebih dahulu meskipun sedar ia bukan tugas yang mudah.

Terengganu dan Negeri Sembilan menjadi satu-satunya perlawanan antara pasukan Liga Super pada pusingan pertama dan dijangka akan menjadi pertembungan menarik dalam perebutan ke pusingan seterusnya.

“Kami akan bertemu pasukan yang kuat di pusingan pertama jika ingin dibandingkan dengan pasukan-pasukan Liga Super yang lain.

“Jadi, yang penting adalah pasukan perlu melepasi pusingan pertama ini terlebih dahulu sebelum kita mahu fikir lebih jauh dalam saingan ini.

“Sudah dua musim kejohanan Piala FA dbatalkan, jadi ini tugas pertama saya untuk pasukan, dan kalau nak bercakap pasal tekanan, biasalah dalam undian macam-macam boleh berlaku, dan kita perlu fokus untuk pusingan ini terlebih dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pula tidak memandang rendah terhadap lawan mereka, Respect FC meskipun kelab itu hadir dari Liga M3.

Ini kerana berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan yang telah dihadapi Sabah sebelum ini menunjukkan prestasi ditampilkan anak buah beliau kurang memuaskan dan enggan pemain boleh ambil mudah aksi di pusingan pertama Piala FA ini.

“Kita tidak boleh nak ambil mudah dalam setiap perlawanan sebab sebelum ini dalam perlawanan persahabatan pun, kita tidak menunjukkan prestasi yang begitu baik.

“Jadi, berdepan kelab dari Liga M3 pun adalah sukar dan kita kena bersiap sedia untuk cuba mengharungi pusingan pertama dengan baik.

“Pasal sasaran, saya ingin Sabah layak sejauh yang kita mampu dan paling penting adalah kita perlu kekalkan prestasi yang cemerlang tidak kira di saingan liga dan juga Piala FA”, katanya.

Dalam majlis undian Piala FA 2022 yang berlangsung  kelmarin menyaksikan sebanyak 34 pasukan melibatkan 12 pasukan Liga Super, 7 pasukan Liga Premier dan 15 pasukan Liga M3 akan bertanding.

Sebanyak 11 pasukan daripada Liga M3 yang mendapat undian “bye” untuk layak secara automatik ke pusingan pertama adalah PIB FC, Tok Janggut Warriors FC, Manjung City FC, Perlis United FC, Sains FC, Kijang Rangers FC, Langkawi City FC, Harini FT, Kinabalu Jaguar FC, Ultimate FC dan Respect FC.

Manakala empat lagi pasukan akan berentap sesama sendiri di pusingan kelayakan iaitu BRM FC yang diundi menentang Tun Razak City FC sementara Bukit Tambun FC diundi bertemu Imigresen FC.

Perlawanan play off ini akan diadakan pada 6 Mac depan dan pusingan pertama pula akan berlangsung bermula 11 sehingga 13 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast