KUALA LUMPUR – Keyakinan perniagaan kembali optimistik menjelang suku pertama 2022 dengan petunjuk keyakinan +7.6 peratus daripada -0.3 peratus pada suku tahun sebelumnya, pertama kali sejak sembilan suku tahun sebelumnya berada di trajektori negatif.

Dalam kesemua sektor yang disurvei, sektor perkhidmatan, industri dan perdagangan borong & runcit menjangkakan prestasi perniagaan yang lebih baik pada suku tahun pertama 2022.

Keyakinan perniagaan bagi sektor perkhidmatan melonjak ke trajektori positif dengan +11.1 peratus pada suku tahun rujukan daripada -1.3 peratus yang dicatatkan pada suku tahun yang lalu.

Sektor industri menggambarkan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan petunjuk keyakinan +12.2 peratus berbanding +3.6 peratus yang dicatatkan pada suku tahun keempat 2021.

Begitu juga, sektor perdagangan borong & runcit menjangkakan prospek perniagaan yang lebih cerah dengan +4.0 peratus pada suku tahun rujukan berbanding +3.3 peratus pada suku tahun terdahulu.

Sebaliknya, sektor pembinaan terus pesimistik terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan -40.4 peratus pada suku tahun pertama 2022,” kata Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini.

Berkenaan dengan hasil kasar, 33.5 peratus responden menjangkakan peningkatan dalam hasil kasar mereka bagi suku tahun pertama 2022 manakala 27.7 peratus menjangkakan penurunan dalam hasil kasar yang seterusnya mendorong kepada imbangan bersih +5.8 peratus.

Pada masa yang sama, 38.8 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka tidak berubah berbanding suku tahun keempat 2021.

Dari segi trend pekerjaan, 70.8 peratus pertubuhan merancang untuk mengekalkan tenaga kerja mereka pada suku tahun rujukan.

Kira-kira 18.2 peratus pertubuhan berhasrat untuk mengambil lebih ramai tenaga kerja, manakala 11.0 peratus meramal untuk mengurangkan tenaga kerja mereka yang mendorong imbangan bersih +7.2 peratus.

Prospek perniagaan bagi separuh pertama tahun 2022 terus bertambah baik dengan imbangan bersih +18.9 peratus berbanding +24.1 peratus yang dicatatkan untuk tempoh Oktober 2021 hingga Mac 2022.

Tinjauan positif ini disokong terutamanya oleh sektor perdagangan borong & runcit, perkhidmatan dan industri yang optimistik terhadap prestasi perniagaan mereka.

Perdagangan borong & runcit meramalkan prospek perniagaan yang menggalakkan bagi separuh tahun 2022 dengan imbangan bersih +27.0 peratus berbanding +35.1 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

Pada masa yang sama, sektor perkhidmatan menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih +25.1 peratus daripada +24.3 peratus.

Sektor industri juga meramalkan prestasi perniagaan yang positif dengan imbangan bersih +17.7 peratus bagi Januari hingga Jun 2022 berbanding +24.5 peratus yang direkodkan sebelum ini.

Sebaliknya, sektor pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -30.8 peratus berbanding -18.4 peratus yang dicatatkan sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast