Posisi sebuah bot pancing membawa 18 mangsa hampir karam di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Seramai 18 individu yang terdiri daripada pemancing dan kru dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah di sini, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (carilamat) sebaik menerima panggilan pada jam 2 petang tadi.

Jelas beliau, KM TENGGOL, Bot PERKASA 1225 dan Bot PENYELAMAT 5 telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT sebaik menerima laporan daripada MRSC berkaitan kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati bot itu dinaiki empat kru dan 14 pemancing.

“Sektor operasi diperluaskan daripada lima batu nautika hingga ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan.

“Penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi pencarian masih dilakukan sehingga kini bagi mengesan bot mereka.

Operasi pencarian dilakukan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan serta komuniti nelayan setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast