MELAKA – Bangunan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) Cawangan Melaka yang ditutup sementara selepas mengalami keretakan baharu kesan daripada gempa bumi di Indonesia semalam dibenarkan beroperasi semula Isnin ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan siasatan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka petang semalam mendapati keretakan halus itu tidak menjejaskan struktur utama bangunan 11 aras berkenaan.

“Hasil siasatan forensik pasukan JKR petang semalam mengesahkan keretakan yang berlaku adalah halus atau kita panggil ‘hair line cracks’ yang berlaku pada ‘plaster’ dinding sahaja.

“Keretakan juga tidak melibatkan struktur konkrit ‘beam’ atau konkrit tetulang di bahagian tiang, bawah mahupun atas sekaligus menjadikannya selamat dan boleh beroperasi semula Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat serta Latihan Pengendalian Bot bagi Persiapan Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Sungai Duyong, Kampung Kandang di sini hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan bangunan LHDN Cawangan Melaka diarah tutup sementara susulan mengalami keretakan baharu dari tingkat satu hingga lapan bangunan, kesan gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter yang melanda Pasaman Barat di Sumatera Barat, Indonesia 9.39 pagi semalam.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga ADUN Ayer Molek berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kerosakan bangunan lain di negeri ini akibat gempa bumi itu.

“Setakat semalam, hanya bangunan LHDN sahaja yang kita dapat laporan berlaku keretakan akibat gempa bumi, bagaimanapun kita masih menunggu sekiranya ada laporan lain,” katanya. – MalaysiaGazette