Foto: JBPM Kuala Krai

KUALA KRAI – Seorang warga emas dikhuatiri lemas setelah dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Suzaimi Mohammad berkata, sebelum kejadian, mangsa Mohammad Ishak, 70, memaklumkan kepada anaknya mahu pergi ke Pengkalan Lan untuk melihat sampan miliknya, namun tidak pulang ke rumah selepas dua jam.

“Hal ini menyebabkan anaknya menyusul ke Pengkalan Lan dan menemui motosikal serta beberapa barang milik ayahnya di tepi sungai tersebut.

“Anak mangsa membuat laporan Balai Polis Dabong pada pukul 10 malam tadi, selepas usaha mencari ayahnya gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Nurul Alfisyahrin Mhd Zaki berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong telah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 8.40 pagi tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas tersebut masih dijalankan dengan kerjasama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa serta Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast