JERTEH – Lebih 400 hektar sawah di kawasan Pengkalan Nangka dekat Kuala Besut di sini ditenggelami banjir sedalam hingga semeter sejak tiga hari lepas susulan hujan lebat berterusan di daerah itu.

Ketua Skim Padi Tok Saboh, Jusoh Ismail, 53, berkata lebih 100 pesawah membabitkan empat kampung iaitu skim Kampung Nangka, Kampung Baharu, Gong Manok dan Tok Saboh di kawasan perairan Pengkalan Nangka dijangka mengalami kerugian besar apabila padi yang baru berusia sebulan ditenggelami air.

“Dalam kejadian hujan lebat kira-kira dua minggu lepas, kawasan padi di sini sudah ditenggelami air menyebabkan sebahagian tanaman rosak dan dalam kejadian banjir kali ini, saya percaya sebahagian besar padi akan rosak lagi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jusoh, yang mengusahakan sawah seluas 20 hektar, turut meluahkan rasa terkejut kerana banjir kali ini berlaku di luar musim tengkujuh iaitu penghujung Februari sehingga menyebabkan kawasan itu umpama lautan.

Beliau berkata kebanyakan pesawah menyemai benih padi bulan lepas kerana menyangka banjir sudah berlalu namun ramalan itu meleset kerana bencana tersebut berlaku secara mengejut menyebabkan mereka mengalami kerugian kerana sudah mengeluarkan modal untuk menanam padi seperti kos sewa tanah, membajak, baja dan racun.

Shaari Abdullah, 60, pula berkata sawah seluas tujuh hektar yang diusahakannya ditenggelami air sekelip mata.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama tanaman padi yang diusahakannya ditenggelami banjir sepanjang enam musim mengusahakan sawah di kawasan itu.

— BERNAMA