Calon MUDA N.07 Bukit Kepong, Nurafiqah M Zulkifli pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.
Calon MUDA N.07 Bukit Kepong, Nurafiqah M Zulkifli pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Nurafiqah M Zulkifli menepis dakwaan sesetengah pihak  yang mendakwa dia bukan anak jati Muar.

Tuduhan itu sangat tidak berasas kerana keluarganya berasal dan dibesarkan di Muar.

“Mereka boleh datang ke rumah saya, kalau menang kerusi DUN Bukit Kepong saya akan buat kenduri di rumah saya. Saya akan jemput mereka yang buat tuduhan tersebut untuk datang sendiri ke rumah saya di Muar.

“Mereka juga tidak tahu saya telah menjadi pegawai Syed Saddiq sejak kemenangan beliau dan menguruskan segala hal kebajikan daripada baik pulih rumah, edaran laptop dan bakul makanan setiap bulan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di bandar Pagoh.

Hadir sama adalah Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengadakan siri kempen hari kedua Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Sebelum ini, ada dakwaan Nurafiqah bukan anak jati Muar beliau tidak tinggal di Muar.

Pengasas bersama MUDA itu merupakan calon PRN Johor bagi DUN Bukit Kepong yang bersaing dengan dua figura Bukit Kepong iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga bekas menteri besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan bekas ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed.

Selain itu, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Md Taib Md Suhut.

Ditanya mengenai pencalonan pada PRN Johor ini,  Nurafiqah berkata: “Walaupun lawan saya adalah seorang bekas menteri besar tapi saya kira pengalaman di lapangan juga sangat membantu saya dan berikan kekuatan kepada saya untuk berhadapan dengan figura yang lebih terkenal,” kata Nurafiqah lagi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, walaupun Nurafiqah adalah calon ‘underdog’ namun beliau sudah menabur bakti kepada penduduk Bukit Kepong dalam misi merampas kerusi yang dimilik oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Kita sertai PRN Johor sebagai underdog dan lawan gergasi.. Satu adalah bekas menteri besar daripada Bersatu, dan bekas ADUN dan Ketua bahagian UMNO, tapi saya yakin jika diberikan peluang, Afiqah adalah calon muda dan bertenaga dan ada master.

“Saya rasa jika diberikan peluang, dia dapat berikan khidmat terbaik,” ujar Syed Saddiq.

Pada PRU14 lalu, calon Pakatan Harapan (PH), Sahruddin menewaskan calon BN, Mohd Noor Taib dan Pas yang mempertaruhkan Iqbal Razak dengan majoriti 1,273 undi. – MalaysiaGazette