Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 407,097 calon akan menduduki ujian bertulis peperiksaan SPM tahun 2021 pada 2 Mac hingga 29 Mac 2022 di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini, seramai 50,514 petugas peperiksaan telah dilantik.

LP mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.

Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast