Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berucap pada Majlis Makan Malam Mesra bersama jentera Barisan Nasional Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Savannah Hills, Ulu Tiram, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 28 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Parti DAP tidak selayaknya diberikan tempat dalam politik negara ini terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana sifat ahlinya yang didakwa rasis.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, DAP mendapat kuasa melalui fitnah, janji palsu dengan memburuk dan mematikan ‘karakter’ Barisan Nasional (BN) sehingga kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, setelah diberi mandat oleh rakyat, DAP bukan sahaja bersifat rasis malah gagal mentadbir negara.

“Semua provokasi kaum meningkat jadi semua berpecah, semuanya daripada DAP daripada ahli-ahlinya .DAP mencetuskan pelbagai isu mencetuskan kemarahan bangsa lain.

“PH (Pakatan Harapan) pula pada ketika itu dipimpin oleh Muhyiddin (Yassin) dan hari ini saya nampak Muhyiddin terikut-ikut dengan trend DAP di mana mesti menyalahkan orang lain, orang lainlah perompak, orang lainla penipu, orang lainlah pembohong.

“Dia buat macam dia orang suci bersih dan maksum. Jadi saya nasihatkan jentera parti jangan terikut dengan perangai mereka sebab mereka menang tetapi kemenangan tidak ada hikmah, dia dan Allah rampas daripada dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui selepas majlis perjumpaan beliau bersama jentera UMNO Sabah di Tiram malam tadi.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, sama ada menang atau kalah dalam PRN Johor, Pilihan Raya Umum (PRU) tetap akan diadakan.

Untuk itu, jelas beliau, jentera dari Sabah seharusnya mengambil ilmu dari PRN Johor memandangkan negeri itu merupakan medan pertama menghadapi pengundi muda.

“Tambah pengalaman untuk bawa ke Sabah dalam berdepan PRU nanti. Sama ada BN menang atau kalau di bumi Johor ini PRU tetap akan diadakan dalam masa terdekat.

“Justeru itu, saya menyeru kepada rakan-rakan marilah kita menghayati perjuangan dan ilmu yang digarap di bumi Johor ini. Hari itu di Melaka tetapi tiada pengundi 18 tahun sebagai pengundi dan hari ini berbeza di Johor.

“Harapan saya marilah kita sama-sama menetapkan nawaitu kita demi perjuangan agama bangsa dan negara kita. Insyallah kita akan menang dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan di negeri kelahiran UMNO ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette