Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling menolak wakil rakyat pengembara seperti calon DAP Liew Chin Tong, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Oleh kerana Chin Tong mempunyai rekod bertukar kawasan Parlimen dan DUN, faktor itu  memberikan kelebihan kepada calon Barisan Nasional Tan Hiang Kee.

“Maklumat yang saya dapat, mereka menolak calon DAP Liew Chin Tong ini kerana dia calon pengembara.

“Mula-mula dia jadi wakil rakyat di Pulau Pinang, kemudian jadi wakil rakyat di Kluang. Lepas tu kalah bertanding di Ayer Hitam sekarang nak bertanding di Johor Bahru pula, bertanding di DUN. Dari Parlimen nak bertanding di DUN.

“Nampak sangat dia ini merupakan calon pengembara yang tidak akan memberi khidmat kepada masyarakat setempat,” kata Nur Jazlan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu menambah, kehadiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke DUN Perling semalam memberikan impak yang tinggi terhadap peluang calon BN untuk menang di kawasan itu.

Katanya, kehadiran Najib telah menambahkan kegusaran kepada DAP kerana populariti BN meningkat dalam kalangan pengundi Cina.

“Sambutan yang diberikan kepada beliau amat meriah dan saya dimaklumkan Setiausaha Agung DAP dan calonnya Liew Chin Tong telah turun ke kopitian sama sejam sebelum itu, tidak dilayan dan tidak dihiraukan oleh pengunjung di situ.

“Jadi itu menunjukan bahawa kempen kluster mahkamah yang dibawa oleh parti pembangkang termasuk Lim Guan Eng sendiri tidak berjaya kikis populariti Najib,” kata Nur Jazlan.

Tambah beliau, disebabkan tidak senang dengan populariti yang diterima Najib ada pihak yang telah membuat aduan kononnya Ahli Parlimen Pekan itu telah melanggar prosedur operasi standard (SOP). Nur Jazlan menafikan terhadap tuduhan.

“Itu juga satu perkara yang tidak benar dan ini juga menunjukkan bahawa DAP sekarang terasa tergugat apabila setiausaha agung mereka tidak dihiraukan.

“Ditolak oleh masyarakat Cina di sini dan Datuk Seri Najib pula yang akan diangkat menjadi orang yang popular di DUN perling ini. Nampaknya tanda-tanda baik untuk Barisan Nasional menang di kawasan Perling ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau ditemui ketika mengiringi Hiang Kee bertemu rakyat di sekitar DUN Perling.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM akan meneliti rakaman video yang memaparkan Najib dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika berkempen di Perling, Johor Bahru pagi Ahad.

Khairy Jamaluddin berkata, jika didapati bersalah, Najib boleh dikenakan kompaun.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, terdapat kes-kes tertentu di mana pemimpin dipersalahkan berikutan ‘kekecohan’ kerana kehadiran orang ramai.-MalaysiaGazette