Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berkenaan laporan kejadian beberapa bendera sebuah parti politik dibakar di kawasan Layang-Layang, Kluang pada pagi Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan memanggil wakil-wakil parti untuk melakukan siasatan.

Ketika ditemui pemberita selepas operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Jalan Rawa, Perling, di sini, Kamarul memaklumkan pihaknya menerima laporan pengadu pada 11.30 pagi Isnin berkenaan kejadian tersebut.

“Terdapat tiga helai bendera yang ditemui dengan kesan terbakar di dua lokasi iaitu di Jalan Cempaka dan Kampung Paya Batu di Layang-Layang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tegasnya,  pihak polis akan meningkatkan pemantauan terutamanya di kawasan yang dikategorikan sebagai ‘kerusi panas’ untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

“Selain itu, saya berharap semua boleh bersabar. Biar pihak polis buat siasatan, jangan ambil tindakan serang balik, tak perlu,” ujarnya.

Kamarul turut menasihati semua parti politik yang bertanding supaya mengamalkan politik positif dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Semalam ada parti politik nak buat ceramah di hotel. Ia tidak dibenarkan. Nak buat ceramah hanya dibenarkan di bilik gerakan seperti yang ditetapkan SPR dan tidak melebihi penyertaan 100 orang, termasuk petugas,” tambahnya.- MalaysiaGazette